suria

PKR kemuka dokumen kepada SPRM mengenai dakwaan penyelewengan MIC

SHAH ALAM Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Gerakan Belia Prihatin (CYM), sebuah NGO, hari ini mengemukakan pelbagai dokumen mengenai dakwaan penyelewengan oleh MIC melibatkan tanah milik sebuah sekolah rendah Tamil di Bandar Utama, ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini.

Naib presiden PKR dan anggota Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, berkata kes itu membabitkan dakwaan penyelewengan dilakukan oleh presidan MIC Datuk Seri S.Samy Vellu ke atas tiga ekar (1.2 hektar) tanah perdana yang pada asalnya diketepikan untuk Sekolah Tamil Effingham.

Beliau berkata tanah itu dikhaskan untuk kegunaan awam dan tidak harus dijual atau dipindahkan kepada manamana individu atau parti politik, oleh itu tidak sesuai bagi MIC mengambilnya.

"Kami mahu Samy Vellu berbuat sesuatu yang betul dengan mengembalikan baki tiga ekar tanah yang pada asalnya diketepikan untuk Sekolah Tamil Effingham kepada rakyat.

"Adalah baik beliau mengakui bahawa ini adalah kesilapan pentadbiran yang mengakibatkan namanya disenaraikan sebagai pemilik separuh daripada tanah itu di Jalan Bandar Utama 1/1.

"Tetapi kini sudah hampir enam bulan sejak beliau meminta maaf dan kita mahukan beliau membetulkan kesilapan itu," kata Sivarasa kepada pemberita sebelum menyerahkan dokumen bukti kepada pengarah SPRM Selangor Moh Samsudin Yusof.

Sebelum ini, setiausaha agung MIC Datuk Dr S. Subramaniam menjelaskan bahawa tanah itu dimiliki oleh parti dan berlaku kesilapan dalam keterangan mengenai tuanpunya tanah.

Beliau dilaporkan berkata bahawa kesilapan itu telah dibawa ke perhatian Pengarah Tanah dan Galian Selangor dan MIC sedang mengambil langkah membetulkan perkara itu menerusi peguamnya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain