suria

Pelayan hotel warga asing didakwa samun pramugara

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyamun dan mengurung seorang pramugara serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri bulan lepas.

Warga Pakistan Muhd Shoaib Nisa dan Maharaj Singh dari India, keduadua berusia 26 tahun, didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama empat lelaki yang masih bebas ke atas Mohhamd Fayrouz Abd Rashid, 35.

Keduadua tertuduh itu, yang bekerja sambilan sebagai pelayan bankuet di Golden Asean Hotel, Jalan Pudu, di sini, didakwa menggunakan pisau untuk melakukan perbuatan itu dan melarikan wang tunai RM19,650 milik mangsa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 401 hotel berkenaan pada pukul 11 pagi, 23 Feb lalu.

Bagi kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh kenakan hukumam penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa di bilik berkenaan di tempat, tarikh dan masa yang sama. Mereka didakwa di bawah Seksyen 343 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Shoaib dan Maharaj Singh didakwa secara berasingan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah di Golden Asean Hotel, Jalan Pudu pada pukul 12.10 malam dan di sebuah rumah di Jalan Rozario, di sini, pada pukul 7.15 malam, 27 Feb lalu.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 akta 155 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes dan tidak menetapkan sebarang ikat jamin. Pendakwaan dijalankan oleh Penolong Pendakwa Raya Suhaima Mohd Noor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain