suria

Noraini: Jaga maruah, jangan jual 'Puteri' Umno!

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad yang berucap walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan di bahagian perut menyeru para perwakilan sayap parti itu menolak pemimpin-pemimpin yang mengamalkan politik wang.

“Jaga maruah dan jaga parti. Jangan ‘jual’ Puteri Umno, jangan sama sekali calarkan imej dan cemarkan nama baik Puteri.

“Pilihlah pemimpin Puteri yang boleh meneraju adik-adik dalam mendepani tsnunami politik dan krisis ekonomi melanda sekarang, demi memastikan Pergerakan Puteri dan Umno terus relevan sebagai pejuang Melayu,” katanya ketika menyampaikan ucapanya pada perhimpunan Agung sayap parti itu di sini semalam.

Noraini yang menjalani pembedahan di bahagian perut minggu lalu tetap menggagahkan diri menghadiri dan menyampaikan ucapan pada majlis persidangan pergerakan itu.

Biarpun beliau duduk ketika menyampaikan ucapannya, beliau tetap bersemangat dalam menitipkan kata-kata nasihat kepada perwakilan Puteri yang hadir di dalam dewan.

“Bagi pemimpin yang bakal dipilih kelak, pikullah amanah dan tanggungjawab yang diberikan untuk kepentingan Pergerakan Puteri dan parti Umno,bukan untuk kepentingan diri dan kroni.

“Jangan sama sekali menyalahgunakan jawatan untuk melobi projek, mengejar jawatan dan mengejar kepentingan diri.

“Bukan juga pemimpin yang hanya pandai berpolitik dan retorik semata-mata malah bukan juga pemimpin yang muncul diwaktu pemilihan sahaja,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh oleh para perwakilan.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia turut menggesa perwakilan sayap parti itu menyokong dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Puteri tidak bersetuju dengan pendapat bahasa PPSMI telah menidakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan di negara ini.

“Penting untuk kita menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia, bahasa kedua, dan dalam masa yang sama kita tidak harus sama sekali mengabaikan bahasa Melayu,” katanya.

Jelas Noraini, biarpun pemilihan kali ini menyaksikan pertandingan buat julung kalinya bagi dua jawatan tertinggi dalam pergerakan itu, beliau menyeru ahli-ahli serta pemimpin parti supaya bersatu dan memperkuatkan parti.

“Kalah atau menang, perjuangan harus dipertahankan. Utamakan semangat setiakawan dalam pertandingan, rapatkan dan perkukuhkan kembali barisan selepas selesai bertanding,” katanya dengan disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain