suria

Hadkan tempoh jawatan mampu kurangkan calon bertanding

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata cadangan presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya sesuatu jawatan parti diberikan tempoh maksimum, dilihat mampu mengurangkan persaingan dalam parti.

Beliau berkata had tempoh pegang jawatan, jika diperkenal, boleh mengurangkan bilangan calon yang bertanding untuk satu-satu jawatan dan ketegangan di antara mereka yang menawarkan diri, akan berkurangan.

Ini sekaligus mampu menghalang fitnah-menfitnah sesama calon, kata Ketua Menteri Melaka itu.

"Kalau ada tempoh had jawatan, contohnya dua penggal, ini boleh mengelak pertandingan yang melibatkan ramai, kerana mereka (yang lain) boleh tunggu. Sekarang ini tak ada had.

"Kalau ini tiada (tempoh maksimum jawatan), akan timbul ketegangan dan akhirnya banyak masa terbuang," katanya kepada pemberita di luar dewan perhimpunan agung Umno di sini hari ini.

Semasa ditanya sama ada beliau masih berhasrat untuk bertanding pada pemilihan parti yang akan datang, Mohamed Ali berkata beliau belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Semangat saya masih tinggi untuk berkhidmat pada parti. Jadi saya tidak mahu membuat ulasan itu lagi," katanya.

Ali Rustam dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno pada pemilihan kali ini kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 10.1 tata etika ahli Umno oleh Lembaga Disiplin parti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain