suria

Cuti Elizabeth Wong dilanjutkan hingga 15 April- Khalid

SHAH ALAM: Tempoh cuti Elizabeth Wong yang sebelum ini ditetapkan sehingga 15 Mac dilanjutkan hingga 15 April, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Belau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hari ini mengambil keputusan untuk melanjutkan cuti Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri itu, sementara menunggu siasatan polis berhubung kesnya selesai.

Wong, 37, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan sebelum ini menawarkan untuk meletak kedua-dua jawatan itu berikutan penyebaran gambar separuh bogelnya dalam Internet, namun Abdul Khalid menasihatii beliau agar menagguhkan hasratnya dan pergi bercuti.

"Kerajaan negeri berpendapat keputusan ini (memanjangkan tempoh bercuti Wong) adalah wajar memandangkan siasatan polis mengenai isu itu (penyebaran gambar bogel) masih belum selesai," kata Abdul Khalid kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan pelanjutan tempoh cuti Wong kali ini mungkin yang terakhir sebelum keputusan muktamad mengenai kedudukan keduadua jawatan Wong akan diumumkan selepas tamat tempoh cutinya itu. Tempoh cuti Wong sebelum ini tamat pada 15 Mac lepas. Beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Abdul Khalid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Selangor pada 17 Feb. Beliau yang pulang selepas dikatakan bercuti sebulan di luar negara, mengulangi hasratnya untuk mengosongkan jawatannya Wakil Rakyat dan anggota Exco kerajaan negeri.

Sementara itu Abdul Khalid berkata seramai lima anggota Exco kerajaan negeri termasuk Khalid akan memangku tugas-tugas rasmi Wong buat sementara waktu yang meliputi tugas Adun, portfolio pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain