suria

Tiga sayap Umno rakam penghargaan kepada Abdullah

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hari ini merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas segala sumbangannya selama lebih lima tahun sebagai presiden parti dan Perdana Menteri.

Pada masa yang sama mereka berikrar memberi sokongan padu dan kerjasama erat kepada Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal menerajui kepimpinan parti terbesar orang Melayu itu.

Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Abdul Aziz berkata kepimpinan Abdullah telah berjaya memperkukuh kesinambungan dalam Umno dan kerajaan.

"Semasa kepimpinan beliau, penekanan diberi kepada aspek kualitatif dalam masyarakat dan pentadbiran kerajaan melalui pendekatan-pendekatan memperkukuhkan integriti, ketelusan, pembangunan modal insan serta mekanisme dan sistem pentadbiran," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita Umno di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Beliau seterusnya meminta setiap anggota Umno memberi sokongan tidak berbelahbagi kepada Najib selaku Presiden baru Umno. "Saya bagi pihak diri saya dan seluruh Pergerakan Wanita Umno, ingin merakamkan sokongan padu kepada Datuk Seri Najib," katanya. Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata anggota pergerakan itu akan meneladan sifat kenegaraan tinggi Perdana Menteri yang bersedia memberi laluan menyerahkan kepimpinan parti kepada barisan pelapis.

Beliau yang merakamkan penghargaan itu dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Dewan Tun Hussein, PWTC, turut meminta ketigatiga sayap parti itu untuk meningkatkan keazaman memastikan Umno terus kukuh bersatu bagi menyokong Najib, yang bakal mengambil alih kepimpinan parti dan negara dalam suasana dan persekitaran politik dan ekonomi yang sungguh mencabar.

Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad pula berkata pergerakan itu merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah banyak memberi bantuan, sokongan dan nasihat kepada pergerakan itu sepanjang beliau menerajui Umno.

"Jasa Pak Lah kami sanjungi, takkan kami lupa sampai ke mati. Doa dari semua ahli Puteri, moga Pak Lah sekeluarga sentiasa diberkati," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Puteri Umno di Dewan Merdeka, PWTC.

Noraini juga yakin Najib dapat meneruskan perjuangan presidenpresiden parti sebelum ini ke arah memantapkan lagi perjuangan Umno, seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, makmur dan harmoni. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain