suria

Rang Undang-Undang IPTS benarkan pelajar terlibat politik dengan syarat

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Pindaan) 2008 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini memberi ruang kepada para pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mendapatkan pengecualian untuk terlibat dengan parti politik.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung berkata berdasarkan cadangan pindaan ke atas Akta IPTS 1996 (Akta 555), para pelajar boleh memohon untuk meneruskan aktiviti politik mereka dengan syarat mendapat kebenaran daripada Ketua Pendaftar.

"Walaupun terdapat larangan ke atas pelajar untuk berpolitik, namun Rang Undang-Undang ini masih memberikan pengecualian. Kuasa untuk memberi pengecualian ini akan dilaksanakan oleh Ketua Pendaftar," katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dr Hou berkata pengecualian itu akan membolehkan seseorang ahli politik yang bergiat dalam mana-mana parti politik mendaftar sebagai pelajar di IPTS tanpa perlu melepaskan kerjaya politiknya. Ia juga membolehkan mana-mana pelajar matang untuk terlibat dengan parti politik, katanya.

Kecuali mendapat kebenaran itu, para pelajar adalah dilarang untuk terlibat dengan mana-mana parti politik dalam mahupun luar negara, pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenalpasti oleh Ketua Pendaftar sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar dan universiti. Perlembagaan IPTS bagaimanapun tidak boleh mempunyai larangan untuk pelajar menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi lain sama ada di dalam atau luar negara.

Berdasarkan rang undang-undang itu, sebanyak 45 seksyen dikenalpasti untuk dipinda bagi memperkemas, memantap, merombak dan memansuhkan beberapa peruntukan sedia ada serta menambah peruntukan baru.

Sementara itu Dr Hou ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata Kementerian Pengajian Tinggi tidak menghalang pelajar-pelajar IPTS terlibat dalam sebarang aktiviti, termasuk politik, asalkan ia tidak keterlaluan.

Beliau menambah pilihan raya di IPTS pula jarang berlaku jika dibandingkan dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kementerian yakin pembabitan politik pelajar-pelajar institusi berkenaan tidak akan menganggu pembelajaran mereka. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain