suria

Polis keluar waran tangkap ke atas bekas teman lelaki Elizabeth

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas teman lelaki exco Selangor, Elizabeth Wong.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Ku Chin Wah kepada mStar online hari ini.

“Polis telah mengeluarkan waran tangkap untuk tangkap Helmi hari ini.

“Kita harap dia akan serah diri dalam masa terdekat,” katanya.

Bekas teman lelaki Wong yang dikenali sebagai Helmi Malek dicari oleh polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar ‘panas’ Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan itu pada Februari lalu.

Beliau dipercayai melarikan diri ke Batam, Indonesia.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat berkata polis tidak akan berkompromi dengan Helmi Malek, 32, selepas memberi tempoh masa yang mencukupi kepadanya untuk hadir.

"Helmi sendiri tahu keterangannya diperlukan polis bagi membantu siasatan kes ini, namun dia masih tidak muncul. Surat perintah (Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah) yang dikeluarkan terhadap Helmi sepatutnya tamat tempoh pada 19 Mac lalu tetapi polis masih lanjutkan beberapa hari lagi. Kita tidak akan berkompromi lagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya kemungkinan Elizabeth akan dipanggil semula untuk memberi keterangan tambahan, Abdul Samah berkata polis akan berbuat demikian sekiranya perlu.

Sejak kes gambar 'panas' Elizabeth tersebar di Internet bulan lalu, Helmi yang merupakan satu-satunya individu dicari polis, tidak dapat dikesan.

Artikel Berikut

Artikel Lain