suria

Pemuda Umno Pulau Pinang gesa Fairus letak jawatan ADUN

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno Pulau Pinang hari ini mendesak bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti kerana gagal membela nasib kaum Melayu di negeri itu.

Salah seorang perwakilan, Zaidi Mohd Said berkata tindakan Fairus meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri jelas menunjukkan beliau menjadi boneka kepada DAP yang menjadi tulang belakang pentadbiran negeri itu.

"DAP kuasai keseluruhan pentadbiran PUlau Pinang, Fairus juga gagal memainkan peranannya jadi adalah lebih baik beliau letak jawatan sebagai ADUN Penanti juga," katanya pada sesi perbahasan usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Selain itu beliau turut mendesak Majlis Tertinggi (MT) Umno menarik balik penggantungan keahlian Umno ADUN Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Jelasnya Umno tidak harus mengambil tindakan terhadap seorang pemimpin yang mempertahankan Melayu.

"Mereka (DAP) cakap macam-macam pasal Umno, mereka tuduh dengan pelbagai tuduhan.

"Tapi bila pemimpin kita pertahankan bangsa kita, beliau dikenakan tindakan," katanya.

Artikel Berikut