suria

Najib: Pemilihan 2009 penentu survival Umno

VISI...Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Timbalan Presiden berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Merdeka, PWTC malam tadi. - foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN
VISI...Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Timbalan Presiden berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Merdeka, PWTC malam tadi. - foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN
VISI...Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Timbalan Presiden berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Merdeka, PWTC malam tadi. - foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menegaskan, pemilihan Umno kali ini yang meliputi semua peringkat bakal menentukan masa depan dan survival parti itu untuk terus mencipta sejarah ataupun sebaliknya.

Ketika menyampaikan ucapannya yang bertemakan Menakhoda Zaman, Timbalan Presiden Umno ini berkata, tugas para perwakilan tahun ini adalah yang paling berat dalam sejarah Umno.

"Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan.

"Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri.

"Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah," kata beliau malam tadi.

Beliau yang Timbalan Perdana Menteri menyatakan demikian ketika berucap merasmikan serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC.

[UCAPAN PENUH]

Beliau yang telah memenangi jawatan Presiden kini sedang berucap lebih 2,000 perwakilan ketiga-tiga sayap itu.

Bertolak daripada kata-kata kata beliau, hakikatnya, Umno masih disayangi oleh orang-orang Melayu.

"Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga.

"Atas sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu.

"Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli," katanya lagi.

Untuk melangkah ke masa depan, Najib juga berkata, Umno harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat.

Tegas beliau, Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang.

" Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan," katanya.

Tambah Najib, "jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘beri salah, tidak beri kalah’."

"Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi... Ini bukan satu gurauan.

"Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini," katanya.

Malah beliau memberitahu, "Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang antiidea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda."

Katanya, Umno adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka.

"Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi.

"Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain.

"Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka," katanya lagi.

Beliau seterusnya menyeru bahawa ahli-ahli Umno mesti juga memastikan amalan jelek cantas-mencantas dan sekat "menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga."

"Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan.

"Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara," katanya lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain