suria

Polis suraikan 5, 000 orang sertai perhimpunan haram

SUNGAI PETANI: Polis terpaksa menggunakan "water canon" (semburan air) untuk menyuraikan lebih 5,000 orang yang menyertai perhimpunan haram di hadapan padang awam Taman Ria Jaya, di sini malam tadi.

Dalam perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 8.00 malam itu, polis turut menahan beberapa orang termasuk penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantu siasatan.

Pada perhimpunan anjuran PKR itu, penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan memberikan ceramah.

Bagaimanapun, Anwar dilihat beredar dengan sebuah kenderaan selepas keadaan menjadi huru-hara.

Kedegilan mereka untuk bersurai walaupun diarah beberapa kali menyebabkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa bertindak melepaskan gas pemedih mata beberapa kali.

Beberapa penyokong parti pembangkang itu kemudiannya mula bertindak ganas dan membaling batu ke arah polis.

Mereka akhirnya terpaksa bersurai pada kira-kira pukul 1 pagi apabila polis menyembur air dengan menggunakan "water canon".

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali berkata polis tidak mempunyai pilihan dan terpaksa bertindak tegas terhadap kumpulan terbabit.

"Kita tidak boleh membenarkan mereka berhimpun beramai-ramai secara haram atas faktor keselamatan dan lagipun majlis ceramah yang diadakan itu tidak mendapat permit polis," katanya di sini. BERNAMA

Artikel Lain