suria

PKR: Fairus diminta buktikan tuduhan konspirasi

PULAU PINANG: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, yang akan meletak jawatan 8 April ini, diminta supaya membuktikan dakwaan kononnya terdapat konspirasi dalaman untuk menjatuhkannya.

Sambil menafikan dakwaan itu, Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata Mohammad Fairus, juga anggota parti itu, meletak jawatan berdasarkan keputusan peribadi dan ia tiada kaitan dengan sebarang konspirasi.

"Kalau benar ada konspirasi, minta dia keluarkan fakta dan bukti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan itu hampir empat jam di sini malam tadi.

Ditanya mengenai laporan akhbar bahawa Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Agama Negeri, Abdul Malik Abul Kassim, juga daripada PKR, bersedia untuk mengambil alih jawatan Timbalan Ketua Menteri, Zahrain berkata isu itu tidak timbul kerana belum ada perbincangan dibuat mengenai calon pengganti.

Menurutnya, mesyuarat malam tadi hanya berkisar kepada persiapan parti menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bukit Selambau. BERNAMA

Artikel Lain