suria

Pak Lah: Pilih pemimpin dihormati

BAKAL PENGGANTI...Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Najib bakal mengambil alih tampuk kepimpinan sekaligus menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 selepas ini. Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN.
BAKAL PENGGANTI...Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Najib bakal mengambil alih tampuk kepimpinan sekaligus menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 selepas ini. Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN.
BAKAL PENGGANTI...Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Najib bakal mengambil alih tampuk kepimpinan sekaligus menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 selepas ini. Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan anggota perwakilan Umno supaya memastikan barisan kepimpinan yang dipilih kali ini bukan sahaja dihormati anggota parti, malah rakyat.

Justeru, Abdullah berkata, setiap anggota perwakilan perlu serius dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing kerana mereka yang dipilih itu, akan menentukan masa depan Umno, sekaligus dapat melaksanakan agenda besar negara pada masa akan datang.

Umno parti dominan dalam Barisan Nasional (BN).

Umno mengadakan Perhimpunan Agung yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

"Semua (anggota perwakilan) perlu memahami bahawa peranan untuk mengundi (barisan kepimpinan parti) adalah amat penting.

"Dengan itu sikap serius semasa mengundi itu mesti ada... sikap mengutamakan apa yang boleh jadi baik untuk parti.

"Sikap untuk memastikan bahawa barisan kepimpinan yang diwujudkan, dihormati dan dapat memberikan keyakinan kepada parti serta rakyat untuk melaksanakan apa jua tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Ini amat penting untuk difahami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada 2,500 anggota perwakilan Umno yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bermula hari ini hingga Sabtu.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pemilihan barisan kepimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan berlangsung esok manakala pemilihan pucuk pimpinan dan Majlis Tertinggi (MT) pada Khamis.

Abdullah berkata, setiap pemimpin yang dipilih Umno mestilah disukai anggota parti kerana barisan kepimpinan itu mempunyai peranan besar sebagai pemimpin negara.

"Dengan itu, keyakinan rakyat juga amat penting dan (dengan) pemilihan yang dibuat itu, insyaAllah kita akan dapat teruskan perjuangan Umno dan apa jua yang menjadi agenda negara dengan sebaikbaiknya.

"Terutamanya yang ada hubung kait untuk memulihkan dan mengukuhkan ekonomi, di samping memastikan rakyat Malaysia bersatu padu, terus teguh dan akan terus bersama kita dalam perjuangan masa depan," katanya.

Abdullah menjelaskan bahawa amanat yang diberikan kali ini ialah yang paling singkat sejak beliau menjadi Presiden Umno kerana dalam ucapannya itu, beliau mahu setiap anggota perwakilan fokus terhadap pemilihan barisan kepimpinan yang benar-benar berkemampuan.

"Tidak sampai 30 minit. Sebab saya hendak supaya mereka tidak ingat perkara lain tetapi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka oleh ahli di peringkat bahagian masing-masing," katanya.

Dalam pada itu ketika bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas majlis tersebut, Abdullah yang tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno memberitahu, beliau tidak mahu "ada apa-apa gangguan ketika pemilihan parti."

Malah, Abdullah yang memimpin Umno sejak Oktober 2003 berkata, beliau tidak sedih untuk memberi amanat Presiden Umno buat kali terakhir Khamis ini.

Ucapan beliau berlarutan hampir sejam.

Artikel Lain