suria

Guan Eng: Kerajaan masih stabil tanpa Fairus

PULAU PINANG:Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan bahawa pentadbiran kerajaan negeri masih stabil walaupun tanpa Timbalan Ketua Menteri 1 Mohamad Fairus Khairuddin yang meletak jawatan berkuat kuasa 8 April ini.

Katanya, pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pimpinannya juga masih berjalan seperti biasa dan portfolio Timbalan Ketua Menteri 1 itu akan diletak di bawah Jabatan Ketua Menteri untuk sementara waktu.

Beliau kepada pemberita selepas merasmikan seminar "Meeting of Minds: Progressive Business Strategies Forum" di sini hari ini.

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa peletakan jawatan Mohamad Fairus memberi isyarat bahawa kerajaan PR tidak bijak dan tidak mampu untuk mentadbir sebuah negeri.

Mohamad Fairus pada 21 Mac lepas telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tetapi masih mengekalkan kedudukan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Ditanya mengenai calon sesuai bagi menggantikan Mohamad Fairus, Lim berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Cadangan akan dibuat oleh beliau dan saya akan mempertimbangkannya," katanya.

Lim juga enggan mengulas lanjut mengenai desas desus yang mengatakan bahawa Pengerusi Jawatan Kuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Abdul Malik Abdul Kassin sebagai pengganti mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1. BERNAMA

Artikel Lain