suria

Ali Rustam 'curi' tumpuan di PWTC

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam terus menjadi tumpuan menjelang Perhimpunan Agung Umno yang bermula secara rasmi esok.

Hari ini Naib Presiden itu, yang telah kehilangan hak untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden minggu lalu, berada di PWTC dengan ramai mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan beliau.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Mohd. Ali sebagai seorang yang sayang dan setia kepada Umno.

Beliau berkata, ini berdasarkan kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Melaka itu berikutan tindakan Panel Rayuan Umno mengekalkan keputusan bahawa beliau tidak boleh bertanding kerusi Timbalan Presiden.

Abdullah berkata, Mohd Ali telah menyatakan bahawa beliau akan terus berkhidmat untuk Umno di samping menjaga nama baik parti.

"Ini pada saya adalah sikap yang baik," katanya.

Abdullah berkata Mohd Ali nampaknya tidak merajuk, bahkan bersedia meneruskan perjuangan untuk kejayaan parti di masa depan.

Lembaga Disiplin Umno sebelum itu mendapati Mohd Ali bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno dan dilarang daripada bertanding atau terpilih sebagai Timbalan Presiden Umno. Beliau mengemukakan rayuan bertarikh 18 Mac.

Artikel Lain