suria

Tukar identiti saksi untuk elak diancam

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi 2008, yang antara lain, membolehkan saksi diberi identiti baru untuk mengelak daripada sebarang ancaman terhadap diri.

Rang undang-undang itu yang dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz diluluskan tanpa sebarang pindaan.

"MyKad saksi akan ditukar. Ia bertujuan untuk merahsiakan identitinya termasuk nama keluarga untuk mengelakkan dia diancam. Selagi dia diancam, selagi itu dia akan berada di bawah program (perlindungan) itu," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai rang undangundang itu hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pertukaran identiti pada MyKad tersebut akan diberikan kepada saksi yang kesnya agak berat.

Menerusi rang undang-undang itu, tiada seorang pun boleh mempunyai akses kepada daftar dan dokumen yang disimpan oleh Pendaftar kecuali Menteri, Peguam Negara, Ketua Pengarah dan manamana orang lain yang dibenarkan secara bertulis oleh Peguam Negara.

Mohamed Nazri berkata sekiranya identiti saksi terpaksa didedahkan dalam manamana prosiding dalam mahkamah, tribunal, suruhanjaya atau siasatan, prosiding yang berkaitan identiti saksi perlu dijalankan secara tertutup, atau suatu perintah berhubung penyekatan penerbitan keterangan perlu dikeluarkan untuk memastikan identiti peserta tidak didedahkan.

Mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain