suria

Tuah & Sial: Khairy dakwa diugut RM100,000 Yahaya pertahan buku

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin petang semalam membuat laporan polis terhadap penulis buku Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin, Yahaya Ismail yang dikatakan mengugut mendapatkan RM100,000 dan memfitnah beliau.

Ketika dihubungi mStar Online, Yahaya mempertahankan kandungan buku tersebut dengan menegaskan, beliau pula akan membuat laporan polis hari ini.

Jelas Yahaya, apa yang ditulisnya adalah berdasarkan fakta dan pandangan beliau sebagai seorang penulis bebas.

Yahaya berkata, ini bukan pertama kali beliau menulis tentang Khairy kerana pada 2005 turut menulis buku Khairy Jamaluddin Bakal PM yang dikatakan turut mengkritik Khairy.

"Pada masa itu, tiada pula laporan terhadap saya tetapi sekarang kenapa baru nak lapor?

"Beliau mahu menakut-nakutkan saya supaya saya berhenti menulis mengkritiknya.

"Selain itu, beliau juga mungkin risau kerana tidak pasti akan menang pada pemilihan Ketua Pemuda minggu depan," kata beliau malam ini.

LAPORAN KHAIRY

Terdahulu, Khairy hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada pukul 10.15 pagi bersama empat rakannya termasuk anggota perwakilan Umno Kota Melaka, Saiful Ridhuan.

Beliau yang ditemui pemberita di pekarangan ibu pejabat polis itu selepas membuat laporan berkata, beliau meminta polis menjalankan siasatan terhadap buku tulisan seorang penulis politik tanah air.

"Tujuan utama saya buat report (polis) ini adalah disebabkan kandungan buku... yang ternyata memfitnah saya.

"Buku ini adalah sebenarnya satu usaha secara sengaja menjatuhkan imej dan karier politik saya," katanya selepas hampir dua jam membuat laporan itu.

Khairy berkata, beliau juga tidak pernah berjumpa penulis buku itu sebelum ini dan pertama kali mereka bertemu adalah di pejabatnya 17 Februari lalu.

"Beliau (penulis) datang ke pejabat saya di sini (Kuala Lumpur) 17 Februari lepas, berjumpa dengan saya dan mengugut saya agar membayar RM100,000 atau buku itu diterbitkan.

"Bagaimanapun saya enggan kerana saya tidak perlu bayar untuk buku tersebut dan saya tidak mampu untuk bayar," dakwa Khairy dipetik Bernama.

Menurut Khairy lagi, penulis terbabit turut mendakwa bahawa penerbitan buku itu ditaja musuh-musuh politik beliau dalam Umno.

"Selain itu, saya juga mendapat tahu buku ini juga telah diedarkan kepada beberapa anggota perwakilan Umno sejak minggu lepas," katanya.

YAHAYA PULA MENAFI

Ketika diminta mengulas mengenai ugutan itu, Yahaya menafikan perkara itu sekeras-kerasnya dan katanya, beliau telah berbincang dengan peguamnya untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Itu semua mengarut. Itu (kenyataan) versi dia.

"Esok petang, saya akan buat laporan polis... mungkin di balai polis yang sama dan kamu akan dengar pula versi saya," katanya.

Yahaya berkata, sebagai penulis yang berani menyuarakan pendapatnya, beliau sudah lali disoal siasat oleh pihak polis.

"Saya sudah menulis 40 buku politik sejak tahun 1977 dan berdepan dengan pihak polis bukanlah perkara baru bagi saya," katanya.

Yahaya berkata, beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mereka adalah rakan persekolahan.

"Saya pernah menulis sebuah buku yang bertajuk Umno Politics: Abdullah Badawi Dilemma yang mengkritik kepimpinan Pak Lah tapi selepas itu, saya masih lagi dijemput ke Seri Perdana kerana kami kawan lama.

"Pada saya, kawan tetap kawan tapi apa yang saya tulis itu adalah pandangan politik saya," katanya.

Berhubung bukunya yang terbaru ini, Yahaya berkata, ia sudah pun berada di pasaran sejak minggu lalu dan boleh didapati dengan harga RM20 senashkah.

Artikel Lain