suria

Sembilan ditahan jadi bookie bola sepak antarabangsa

KEPALA BATAS: Polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita kerana terlibat menjadi bookie menguruskan pertaruhan perlawanan bola sepak luar negara dalam satu serbuan di sebuah kedai kopi di Sungai Dua di sini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata dalam serbuan kira-kira 11.30 malam semalam, polis merampas telefon bimbit, butiran catatan dan beberapa peralatan yang digunakan untuk pertaruhan.

"Kesemua mereka yang berusia 40 hingga 61 tahun itu disyaki menguruskan pertaruhan bagi perlawanan membabitkan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Sepanyol dan Liga Bola Sepak Utama (MLs)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara(SPU) di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket yang berpindah randah bagi mengelak daripada di kesan polis itu mengaut kirakira RM20,000 bagi setiap perlawanan yang berlangsung.

"Ketika serbuan dibuat selepas menerima maklumat orang ramai, polis mendapati kesemua mereka berada di dalam kedai itu dan setelah memeriksa, polis menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pertaruhan," katanya.

Dalam kes berasingan, Tun Hisan berkata polis menumpaskan perjudian dalam talian dengan tertangkapnya seorang pekerja kafe siber berusia 19 tahun di sebuah kedai di Jalan Perak, Pulau Pinang.

Katanya selain menahan remaja lelaki dalam operasi pada 11 malam semalam itu, polis turut merampas pelbagai jenis komputer yang digunakan untuk perjudian berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain