suria

Nizar, bekas MB Perak calon PAS di Bukit Gantang

[DIKEMAS KINI] TAIPING:Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dari PAS, malam ini diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Ia diumumkan di padang Taman Kota Jaya di Simpang di sini kira-kira 10.50 malam tadi oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya memegang amanah jawatankuasa yang memutuskan nama beliau (Nizar)," kata beliau.

PAS mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat di sini petang tadi untuk memilih calon pihaknya.

Empat nama dipertimbangkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun pemilihan Nizar dikatakan tidak mendapat restu Mursyidul PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Kini Nizar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang.

Nizar kehilangan jawatan Menteri Besar apabila kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat tumbang ekoran tindakan tiga ADUN keluar dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas tapi menyokong Barisan Nasional awal bulan lalu.

Beberapa hari kemudian kerusi Bukit Gantang menjadi kosong.

Pengumuman calon Pakatan Rakyat ini dibuat kira-kira 10 hari selepas BN mengumumkan calonnya, Ismail Saffian.

Ketika ditanya sebab beliau dipilih sebagai calon, Nizar berkata, pemilihannya sudah tentu mempunyai sebab dan alasan.

Sama ada pemilihannya di sebalik krisis politik akan membawa kelebihan kepada Pakatan Rakyat untuk menang, Nizar berkata, "kemungkinan ada."

Nizar dalam ucapannya berkata beliau akan meneruskan amanah serta tugas baik yang ditinggalkan oleh Roslan Shaharom, yang meninggal dunia awal bulan lepas untuk membela nasib rakyat di negeri Perak serta negara amnya.

"Saya memohon simpati dan sokongan daripada seluruh pengundi dari Kuala Sepetang, Trong hingga ke Changkat Jering menterjemahkan niat yang baik untuk kemenangan pakatan pembangkang dan inilah kehendak rakyat di Perak," katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Abdul Hadi dan kepimpinan pakatan pembangkang yang mencalonkan beliau untuk bertanding di Bukit Gantang.

Penamaan calon akan diadakan pada 29 Mac ini dan pengundian pada 7 April bagi mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian penyandang Roslan daripada PAS pada 8 Februari lalu.

Roslan mengalahkan Bendahari Umno Datuk Seri Abdul Azim Zabidi dengan majoriti 1,566 pada pilihan raya umum tahun lalu.

Seorang lagi calon bebas M. Mogan hilang wang pertaruhan dengan hanya 882 undi.

Pengundi Bukit Gantang terdiri daripada Melayu 63.5 peratus, Cina 27.1 peratus, India 9.1 peratus dan lain-lain kaum 0.2 peratus.

Jumlah pengundi mengikut kaum Parlimen Bukit Gantang dan tiga kerusi DUN dalam kawasan itu Kuala Sepetang, Changkat Jering dan Trong mempunyai pecahan peratusan kaum yang hampir sama di Perak.

Bukit Gantang mempunyai 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.7 peratus (Cina) dan 9.71 (India) dan dan 0.04 peratus kaum lain.

Artikel Lain