suria

MB jumpa Elizabeth pagi tadi, Anwar serah Khalid putuskan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Elizabeth Wong pagi semalam berhubung kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri.

Wong menemui Abdul Khalid di kediamannya pada pukul 9 pagi dan perjumpaan itu mengambil masa selama lebih sejam dan tidak disertai oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia merupakan pertama dalam tempoh sebulan sejak Wong mula bercuti dan mengumumkan hasrat mahu meletakkan jawatan Exco dan ADUN Bukit Lanjan.

Jumaat lalu, Abdul Khalid dilaporkan berkata bahawa keputusan mengenai kedudukan Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan akan diketahui selepas perkara itu dibentang dan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Rabu ini.

Ini sejajar dengan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan Wong, kata Khalid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Wong merupakan Ketua Penerangan Wanita PKR.

Pada 17 Februari lalu, Wong memutuskan untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran tersebarnya gambar separuh berbogel.

Ketika ditemui selepas menyambut Konvoi Kembara Rakyat sempena setahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di sini, Khalid juga berkata, Wong yang kini masih lagi bercuti, akan menjalani satu pembedahan kecil di bahagian belakang tubuhnya.

Wong sebelum ini menawarkan diri meletakkan jawatan Exco dan sebagai wakil rakyat Bukit Lanjan selepas gambar-gambar separuh bogelnya tersebar di internet. Dalam pada itu, Anwar pula berkata, kedudukan Wong akan diserahkan kepada kerajaan negeri Selangor.

Kata Anwar, beliau menyerahkan sepenuhnya isu kedudukan Wong sebagai ADUN dan Exco kepada kerajaan negeri dan Khalid.

"Soal exco, itu keputusan kerajaan negeri dan Tan Sri Khalid.

"Perkara ini belum berbangkit apa-apa yang baru lagi," katanya selepas kepada media selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seri Setia dan Penyerahan Borang Keahlian PKR yang baru di sini, semalam.

Artikel Lain