suria

Lelaki ditahan miliki dua pucuk pistol

BUTTERWORTH: Polis merampas dua pucuk pistol dan 61 butir peluru serta menahan seorang lelaki dalam operasi di Taman Bagan, di sini awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata dalam operasi pada pukul 12.50 pagi itu, polis menahan sebuah kereta jenis Perdana yang dinaiki lelaki berusia 28 tahun itu.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui dua pucuk pistol jenis Smith & Wesson serta 11 butir peluru .38 dan 50 butir peluru 9mm yang di dalam kereta itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara(SPU) di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui sejumlah dadah jenis syabu bersama lelaki yang bekerja di sebuah kedai aksesori kereta itu dan hasil ujian air kencing yang dibuat mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

Tun Hisan berkata siasatan awal polis mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. BERNAMA

Artikel Lain