Lelaki dipercayai mati ditembak di Danau Kota - Semasa | mStar

Lelaki dipercayai mati ditembak di Danau Kota

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati dipercayai ditembak di kawasan Perumahan Rakyat Danau Kota di sini.

Lelaki itu yang dikenali sebagai R. Alex, 25, mati sejurus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pagi semalam.

Mangsa sebelum itu ditemui oleh penduduk kawasan perumahan berkenaan kira-kira 6.30 pagi dengan keadaannya terbaring di atas jalan beserta kecederaan di bahu.

Penduduk sebelum itu turut terdengar bunyi tembakan.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari sebuah kafe siber yang dipercayai tempat mangsa bekerja.

"Polis turut menemui satu kelongsong dan satu peluru jenis 9mm di tempat kejadian," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang suspek terlibat dengan pembunuhan Alex, yang kemungkinan juga turut melibatkan rakan-rakannya.

Zakaria berkata polis telah menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun di sekitar kawasan tersebut untuk membantu siasatan.

Mangsa turut dipercayai disamun atau terlibat dalam pergaduhan sebelum dibunuh, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lelaki ditahan miliki dua pucuk pistol

Artikel Berkaitan

Artikel Lain