suria

Sindiket VCD dan DVD cetak rompak tumpas

PULAU PINANG: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengeluar dan pengedar cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak serta lucah dalam satu serbuan di Taman Sungai Nibong di sini hari ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub berkata, dalam serbuan kirakira jam 5petang oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Negeri, polis berjaya merampas 30,000 keping VCD dan DVD bernilai kira-kira RM240,000.

Beliau berkata rumah teres dua tingkat yang disewa itu dipercayai dijadikan tempat operasi haram pemprosesan DVD dan VCD lucah secara sulit dan ketika diserbu dua lelaki dipercayai pekerja sindiket berkenaan berusia dalam lingkungan 20an sedang melakukan kerja penyalinan DVD serta VCD.

"Polis telah melakukan pemantauan sejak sebulan lalu dan hasil pemeriksaan menemui 11 unit mesin penyalin DVD di salah sebuah daripada tiga bilik tidur di tingkat atas rumah teres terbabit," katanya pada sidang media di sini semalam.

Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis sedang mengesan dalang di sebalik sindiket berkenaan, katanya.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 6 akta yang sama. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain