suria

Umno perlu bersihkan tanggapan angkuh

KUALA LUMPUR: Umno perlu membersihkan tanggapan sebahagian besar rakyat terhadap parti itu yang dilihat mengamalkan budaya tidak sihat serta mempunyai sikap angkuh, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Kita perlu membersihkannya. Saya nyatakannya secara terbuka dan bukannya sekadar ingin meluahkan dihadapan Ketua Menteri dari pihak lain (pembangkang).

"Jika kita tidak berubah, kita akan dihukum, jadi kita perlu berubah.

"InsyaAllah kita akan lakukannya (perubahan), jika kita lakukan rakyat akan memberi sokongan kepada kita," katanya pada Persidangan Agenda Integriti Nasional: Penilaian dan Hala Tuju di Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau mempunyai cadangan untuk mengadakan pembaharuan kepada parti yang menjadi tonggak kerajaan itu.

Katanya beliau akan mengumumkan perkara itu dalam sedikit masa lagi.

Selain itu Najib berkata beliau komited kepada pentadbiran yang berprinsipkan keterbukaan, ketelusan dan bercakap benar kepada rakyat apabila mengambil alih pucuk pimpinan negara kelak.

Tambahnya jika kerajaan bercakap benar kepada rakyat maka kerajaan akan mendapat keyakinan daripada rakyat.

"Sebagai kerajaan mesti memupuk keyakinan daripada rakyat agar mereka yakin kepada kerajaan, (kita perlu) bersikap telus dengan rakyate," katanya ketika menjawab satu soalan peserta pada Persidangan berkenaan.

Najib berkata usaha memerangi rasuah dan membentuk satu masyarakat yang bersih, lebih berintegriti dan bermoral perlu menjadi satu perjuangan yang dibudayakan.

Katanya unsurunsur negatif seperti tamak haloba dan mementingkan diri sendiri yang menjadi pendorong kepada perbuatan rasuah dan penyelewengan kuasa perlu diketepikan.

Katanya dalam aspek pemerolehan kerajaan, sekiranya sebahagian besar didasarkan kepada tender terbuka atau sekurangkurangnya tender terhad, maka ia boleh membantu memerangi gejala rasuah.

"Mungkin ini tidak popular pada sesetengah pihak. Mungkin pelobipelobi tidak suka. Tetapi saya percaya rakyat suka dan akan lebih sokong kepada kerajaan," katanya.

Najib berkata kebanyakan pembelian sekarang adalah berdasarkan kepada "pembidaan terbuka".

"Saya akan menggalakkan pemerolehan secara elektronik. Kita sedang menuju ke arah itu," katanya menjawab satu lagi soalan yang ditimbulkan seorang peserta.

Najib juga berkata dalam aspek pelantikan mahupun pertukaran pegawai seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), elemen penting yang perlu diguna pakai mengikut keutamaan ialah integiriti, kemampuan dan penerimaan.

Beliau berkata gerakan integriti nasional perlu digalak dan disokong semua lapisan masyarakat di negara ini demi kebaikan bersama.

Mengenai laporan Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan hari ini, Najib berkata berdasarkan laporan itu, kerajaan boleh berbangga kerana beberapa kejayaan telah dicapai dalam aspek tertentu.

"Namun jelas masih banyak yang perlu dilakukan kerana persepsi masyarakat terhadap rasuah, masyarakat bermoral dan masyarakat berintegriti masih perlu diperjuangkan habishabisan," katanya.

Artikel Lain