suria

Semua calon patut disiasat - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua calon yang bertanding pada pemilihan Umno, termasuk dirinya sepatutnya disiasat.

Calon Naib Presiden Umno itu berkata sekiranya ada bukti kukuh maka tindakan daripada Lembaga Disiplin Umno dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlulah adil kerana kredibiliti mereka sentiasa diuji.

"Saya harap semua termasuk diri saya sendiri perlu disiasat. Dengan syarat bahawa siasatan itu adil dan tidak ada syak wasangka bahawa calon tertentu sahaja disiasat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Menara Parlimen di sini hari ini.

Keputusan yang dibuat mestilah bersandarkan bukti, hujah dan saksi kukuh, kata Hishammuddin sebagai mengulas dua calon ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin, yang disiasat Lembaga Disiplin Umno.

Hasilnya, Khairy diberikan amaran namun layak bertanding manakala Dr Mohamad Khir didapati tidak bersalah.

Mengenai Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dikenakan tindakan tidak boleh bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana politik wang, Hishammuddin berkata persoalan tentang jawatan Mohd Ali sebagai Ketua Menteri Melaka tidak timbul.

"(Ini) kerana apa (tindakan) diambil adalah di bawah (kuasa) parti... Apa yang didesak (supaya Mohd Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka) bagi saya tak perlu dipertimbangkan dalam konteks Lembaga Disiplin," katanya.

Beliau berkata Mohd Ali pada mesyuarat Jawatankusa Pengurusan hari ini dilihat tenang, tabah dan beliau menyatakan kepentingan parti lebih daripada kepentingan individu.

Hishammuddin berkata perkara itu sentiasa menjadi pegangan anggota Umno dan perkara sebegini telah berlaku sebelumnya.

"Sejarah telah buktikan dalam kes sebegini akhirnya parti jadi keutamaan dan akhirnya bila rapatkan barisan pejuang parti yang tulen, ikhlas akan terus bersama parti," katanya. BERNAMA

Artikel Lain