suria

Polis sangkal laporan ada pelacur di Pulau Ketam

SHAH ALAM: Polis hari ini menyangkal laporan akhbar baru-baru ini kononnya wujud kegiatan pelacuran di Pulau Ketam dekat sini membabitkan wanita dari China.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Jamshah Mustapa berkata laporan akhbar itu menyebut kegiatan pelacuran yang dikenali sebagai 'China Dolls' didatangkan oleh sebuah sindiket bertujuan menjalankan kegiatan tidak bermoral itu sehingga menggugat perkampungan berkenaan.

Laporan itu disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina dan Inggeris masingmasing bertarikh 13 dan 14 Mac lepas.

"Apa yang sebenarnya berlaku adalah pelancong asing terutamanya dari China melawat Pulau Ketam pada penghujung minggu dan menginap di hotel bajet yang terletak di perkampungan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jamshah tidak menolak kemungkinan ada antara pelancong wanita rakyat asing telah menjalin hubungan dengan masyarakat tempatan di Pulau Ketam sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak.

"Polis telah melakukan siasatan dan kebanyakan mereka datang untuk melancong dan memegang pas lawatan sosial yang sah.

Siasatan juga mendapati tiada sindiket yang menjadi dalang kegiatan pelacuran di pulau itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain