suria

Perlu akur keputusan Lembaga Disiplin - Aziz Tapa

MELAKA: Semua pihak yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan politik wang perlu patuh dan akur dengan keputusan tersebut, kata seorang veteran Umno Melaka Tan Sri Abdul Aziz Tapa.

Beliau berkata apa guna Umno menubuhkan Lembaga Disiplin jika anggotanya sendiri tidak boleh patuh kepada keputusan yang dibuat.

"Jika kita taat kepada Lembaga Disiplin barulah masalah politik wang dalam parti akan selesai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Aziz diminta mengulas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan setelah didapati bersalah melibatkan politik wang oleh Lembaga Disiplin.

Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Idris Haron pula berkata keputusan itu amat memeranjatkan dan mengecewakan penyokong Mohd Ali di Melaka dan negeri lain.

Beliau berkata Lembaga Disiplin parti sepatutnya merujuk terlebih dahulu keputusan yang hendak diambil kepada Majlis Tertinggi (MT) sebelum membuat pengumuman.

"Hukuman itu sepatutnya mengambil kira kepentingan politik kerana ia boleh mengundang pelbagai reaksi serta menjejaskan keyakinan anggota pada parti," katanya.

Naib Ketua Umno Bahagian Jasin Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata keputusan lembaga itu disifatkan tidak adil kerana ada pihak yang turut melakukan kesalahan yang sama tetapi tidak dikenakan hukuman.

"Ada pihak melakukan kesalahan yang sama tetapi sekadar diberikan amaran tetapi bagi Mohd Ali pula beliau dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden," katanya.

Naib Ketua Umno bahagian Bukit Katil, Datuk Asa'ari Ibrahim meminta penyokong dan anggota Umno di Melaka bertenang dan menerima keputusan tersebut.

"Beliau (Mohd Ali) masih lagi berkhidmat untuk Melaka, cuma beliau dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno," katanya. BERNAMA

Artikel Lain