suria

Pengurus Tesco mati ditembak dalam rompakan

BUTTERWORTH: Seorang Pengurus pasaraya Tesco Extra Seberang Jaya mati ditembak manakala dua lagi cedera dalam satu rompakan di sebuah kedai emas yang terletak pasaraya itu di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu mangsa S. Sathiasillan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan di dada dan dagu manakala Pengurus Peruncitan pasaraya itu, N. Ilangohvan, 26, dan pengawal keselamatan kedai emas, Izat Hafiz Mohamad Saad, 27, cedera.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata semasa kejadian, empat suspek yang bertopeng telah memecah pintu kaca kedai emas itu yang belum dibuka menggunakan tukul besi.

"Suspek berjaya melarikan 20 dulang emas yang dipamerkan dalam peti kaca kedai itu dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM250,000," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata selepas mengambil barangan kemas itu, salah seorang suspek menembak pengawal keselamatan kedai itu sebelum menembak Sathiasillan dan Ilangohvan yang baru tiba di kedai emas itu setelah dimaklumkan mengenai rompakan tersebut.

Ayub berkata suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol melepaskan enam das tembakan.

"Empat kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian dan polis juga pendapati senjata (senapang) pengawal keselamatan yang cedera itu hilang," katanya.

Beliau berkata empat suspek itu melarikan diri dengan sebuah kereta Honda City dan sebuah motosikal bersama dua lagi rakan mereka yang menunggu di luar pasaraya itu.

Katanya lima pekerja yang sedang menyusun barang kemas ketika kejadian tidak dicederakan.

"Berdasarkan maklumat daripada pekerja kedai emas itu, polis percaya suspek merupakan warga tempatan," katanya.

Sehubungan itu, katanya polis melancarkan operasi bagi menjejaki semua suspek yang berjaya melepas diri.

"Kita akan lihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu bagi mengenalpasti suspek," katanya. BERNAMA

Artikel Lain