suria

Mayat lelaki ditemui dengan isi perut terkeluar

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori yang melalui sebuah ladang kelapa sawit di Setia Alam di sini, terkejut hari ini apabila menemui satu mayat lelaki dalam keadaan isi perut terkeluar dan mempunyai kesan toreh di bahagian belakang kepala.

Teoh Cheng Kooi, 56, berkata beliau ternampak satu objek ketika melalui kawasan ladang berkenaan dan selepas melihat lebih dekat mendapati ia adalah tubuh manusia yang masih lengkap berpakaian dan berlumuran darah.

Beliau yang menggunakan laluan itu setiap hari untuk mengangkut kelapa sawit segera menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata mayat lelaki yang dipercayai warga asing itu ditemui dalam keadaan tertiarap di laluan kenderaan di Ladang North Hummock di sini, kira-kira pukul 2.30 petang.

"Mangsa mungkin meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui dan kita percaya mangsa diserang lebih dari seorang suspek berdasarkan kecederaan parah pada bahagian tubuh mangsa iaitu di perut dan belakang kepala," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata identiti mangsa masih belum dapat dikenalpasti kerana tidak terdapat sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain