suria

Isu Balkis: Khir dan isteri antara yang disiasat

SHAH ALAM: Bekas Yang Dipertua Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Selangor (Balkis), Datin Seri Zaharah Kechik adalah antara 11 saksi yang akan dipanggil memberi keterangan dalam sesi pendengaran awam berhubung wang tajaan kepada badan bukan kerajaan itu.

Selain Zaharah, suaminya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo akan turut dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas ke atas Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan (SELCAT) yang dijangka bersidang pada 23 hingga 31 Mac ini.

Pengerusi SELCAT, Teng Chang Khim berkata Khir, Zaharah dan sembilan saksi dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penajaan diterima Balkis daripada anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat swasta.

Tindakan tegas akan dikenakan kepada saksi sekiranya gagal hadir memandangkan notis arahan kehadiran telah dikeluarkan, katanya dalam satu sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri berakhir pada hari ini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata saksi yang gagal hadir boleh dikenakan tindakan penjara 12 bulan atau denda tidak lebih RM3,000 mengikut Seksyen 3 Enakmen Penghinaan Dewan 2008.

Jika saksi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mereka boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan yang membolehkan tindakan disiplin dikenakan termasuk digantung jawatan ADUN.

"Sesi ini bukan untuk mencari siapa yang salah atau betul. Sebaliknya kesemua saksi dipanggil memberi penjelasan bagi membantu Selcat mengenal pasti bagaimana dasar dan garis panduan syarikat dan anak syarikat kerajaan negeri dalam memberi tajaan kepada Balkis.

"Selepas itu, satu penyata akan dibentang kepada Dewan Undangan Negeri dan sekiranya dikesan ada unsur penyelewengan, laporan polis akan dibuat," katanya.

Teng berkata, kesemua 11 saksi itu diberi perlindungan di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan sejak siasatan dijalankan Mei lepas, semua keterangan saksi telah direkodkan.

Siasatan itu membabitkan tiga anak syarikat kerajaan negeri dan beberapa syarikat swasta, katanya.

Sesi pendengaran awam itu diadakan di Bilik Gerakan, Dewan Annex di sini bermula jam 10 pagi dan terbuka kepada orang ramai.

Selain Teng, SELCAT turut dianggotai enam ahli lain iaitu empat wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor terdiri daripada ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha; Saari Sungib (Hulu Kelang); Mohamad Azmin Ali (Bukit Antarabangsa); Edward Lee (Bukit Gasing); dan dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) iaitu Ismail Sani (Dusun Tua); dan Sulaiman Abdul Razak (Permatang). BERNAMA

Artikel Lain