suria

Doktor, dua pembantu klinik bebas dengan jaminan polis

KLANG: Seorang doktor berumur 53 tahun dan dua pembantu wanitanya yang ditahan dalam serbuan minggu lepas di sebuah klinik swasta di sini yang dipercayai digunakan sebagai tempat memproses dan mengedar ubat batuk secara haram, dibebaskan dengan jaminan polis petang ini.

Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Md Yusof pihak Timbalan Pendakwa Raya telah mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut terhadap kes itu termasuk merujuk kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Selangor.

"Kita akan memanggil semula suspek pada bilabila masa apabila siasatan selesai dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu pada sebelah pagi, doktor dan pembantu klinik yang berumur 20 dan 22 tahun itu dibawa ke mahkamah di sini, dipercayai untuk menghadapi pertuduhan setelah tempoh tahanan reman mereka tamat hari ini.

Bagaimanapun pada 1 tengah hari, mereka bertiga dilihat dibawa keluar dari lokap mahkamah dan menaiki sebuah kereta polis sebelum meninggalkan kawasan mahkamah. Media sebelum ini melaporkan, dalam serbuan di klinik itu, polis merampas 2,932 botol mengandungi cecair 'promethazine', 8,990 tablet 'dihydocodeine' dan 'suncodin', lima botol pewarna makanan, enam botol mengandungi cecair dipercayai ubat batuk dan bungkusan botolbotol kosong pelbagai saiz.

Turut dirampas wang tunai RM58,000 dan sebuah kenderaan. BERNAMA

Artikel Lain