suria

Khairy bersyukur masih layak tanding

IPOH: Calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini melahirkan rasa bersyukur kerana masih boleh bertanding jawatan itu walaupun didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin parti hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda didapati bersalah di bawah Perkara 10.1, Tataetika Ahli Umno kerana melanggar peraturan kempen pemilihan parti tetapi hanya diberikan amaran.

Khairy berkata, beliau tidak bersalah tetapi bersyukur kerana masih berpeluang untuk merebut jawatan itu.

"Saya tidak bersalah dalam kes ini tapi bagi penilaian Lembaga Disiplin, mereka telah membuat keputusan tapi Alhamdulillah, saya masih lagi boleh bertanding dan bagi saya itu yang lebih penting," katanya ketika ditemui di majlis memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan parti minggu depan, di sini.

Khairy berkata, beliau yakin keputusan Lembaga Disiplin itu tidak akan menjejaskan peluangnya untuk merebut jawatan tertinggi Pemuda Umno itu dan menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

Pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno pada 25 Mac ini membabitkan tiga calon termasuk Khairy, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir.

Hari ini, Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur mengumumkan Khairy didapati bersalah di bawah Perkara 10.1, Tataetika Ahli Umno kerana melanggar peraturan kempen pemilihan parti tetapi hanya diberikan amaran.

Dalam sidang media itu, beliau turut mengumumkan 14 lagi ahli Umno yang didapati bersalah termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mohd Ali yang sepatutnya bertanding jawatan Timbalan Presiden bagaimanapun telah hilang kelayakan bertanding kerana didapati bersalah di bawah Perkara yang sama.

Artikel Lain