suria

Bersatu selepas pemilihan, pastikan kemenangan pilihan raya kecil - Muhammad

SHAH ALAM: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib meminta semua anggota Umno bersatu selepas pemilihan parti itu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada tiga pilihan raya kecil April ini.

Barisan pimpinan baru parti bakal memikul tanggungjawab yang berat bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bukit Selambau di Kedah dan Batang Ai di Sarawak, katanya.

Muhammad yang merupakan calon untuk jawatan timbalan presiden berkata demikian ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon yang bertanding pada pemilihan Umno kepada perwakilan Selangor di sini malam tadi.

Turut hadir dua lagi calon timbalan presiden iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Calon naib presiden yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; bekas menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. BERNAMA

Artikel Lain