suria

Bekas Naib Presiden MIC layak cabar Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan yang berhasrat bertanding jawatan Presiden MIC, memperoleh cukup pencalonan yang diperlukan untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu.

Pemimpin berusia 66 tahun yang berasal dari Seremban itu mendapat 51 pencalonan setakat ini, lebih satu pencalonan daripada jumlah yang diperlukan, untuk bertanding jawatan Presiden MIC yang disandang oleh Datuk Seri S. Samy Vellu sejak 1979.

"Ya, saya sehingga kini berjaya memperoleh 51 pencalonan.

"Bagaimanapun saya tidak akan berhenti daripada berusaha mendapatkan lebih banyak pencalonan.

"Saya tidak mahu mengambil risiko. Sesetengah pengerusi cawangan mungkin menandatangani dua pencalonan, satu untuk saya, satu lagi untuk penyandang dan ini akan menjadikan keduadua pencalonan tidak sah.

"Lebih banyak pencalonan yang saya dapat, lebih terjamin kedudukan saya. Saya tidak mahu mengambil risiko.

"Sesetengah pencalonan mungkin ditolak atas alasan teknikal dan saya bersedia untuk apa jua masalah," beliau memberitahu Bernama ketika dihubungi hari ini.

Penghujung tahun lepas, Muthupalaniappan mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan tertinggi parti.

Beliau akan berdepan Samy Vellu, yang mengisytiharkan beliau akan mempertahankan jawatan itu.

Berdasarkan perlembagaan parti, seseorang yang berhasrat bertanding jawatan Presiden mesti mendapat 50 pencalonan, dengan setiap pencalonan memerlukan seorang pencadang dan lima penyokong, untuk melayakkan diri bertanding.

Semua pencadang dan penyokong mestilah pengerusi cawangan.

Presiden MIC akan dipilih oleh 3,700 pengerusi cawangan di seluruh negara.

Parti itu menetapkan 22 Mac untuk penamaan calon Presiden manakala pengundian ditetapkan pada 12 April.

Kali terakhir Samy Vellu berdepan saingan getir untuk jawatan Presiden MIC ialah pada 1989, apabila beliau menang tipis ke atas Timbalannya ketika itu, Datuk S. Subramaniam.

Muthupalaniappan berkata jika dipilih, beliau akan mengehadkan tempoh memegang jawatan Presiden parti kepada dua penggal atau enam tahun bagi memberi peluang kepada pemimpin muda dalam parti itu untuk membawa perubahan.

Artikel Lain