suria

Ali Rustam tarik diri tanding Timbalan Presiden?

SEBAHAGIAN calon ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada sesi suai kenal bersama perwakilan Selangor di Shah Alam semalam.
SEBAHAGIAN calon ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada sesi suai kenal bersama perwakilan Selangor di Shah Alam semalam.
SEBAHAGIAN calon ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada sesi suai kenal bersama perwakilan Selangor di Shah Alam semalam.

PETALING JAYA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam enggan mengulas sama ada akan menarik diri daripada pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno minggu depan.

Naib Presiden itu juga enggan menjawab sama ada menerima surat daripada Lembaga Disiplin.

"Anda kena tanya Lembaga Disiplin," katanya di Shah Alam malam tadi.

Ditanya tujuan pertemuan beliau dengan Ketua Bahagian Umno Melaka esok (hari ini), Mohd Ali yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, berkata perjumpaan itu adalah sebagai persediaan untuk Perhimpunan Agung Umno ini.

Beliau berkata perjumpaan itu tiada kaitan dengan sebarang pengumuman beliau hendak menarik diri daripada pertandingan.

Mohd Ali tenang ketika menjawab soalan pemberita sewaktu menghadiri majlis perjumpaan dengan perwakilan Umno Selangor malam tadi.

Mohd Ali berkata beliau juga tidak bimbang dengan perkembangan itu bahkan masih bersemangat untuk hadir ke majlis perjumpaan itu sebagai calon Timbalan Presiden.

Pengerusi Lembaga Displin Umno, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail akan mengadakan sidang akhbar petang ini dan beliau dijangka mengumumkan hasil siasatan lembaga itu.

Terdahulu, bercakap di lobi Parlimen semalam, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib mencadangkan Lembaga Disiplin Umno supaya mengumumkan nama calon yang dikaitkan dengan politik wang sebelum bermulanya pemilihan Umno.

Selain Mohd Ali, calon lain untuk Timbalan Presiden Umno ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Muhammad.

Artikel Lain