suria

Umumkan nama calon terlibat politik wang - Muhammad

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini mencadangkan Lembaga Disiplin Umno supaya mengumumkan nama calon yang dikaitkan dengan politik wang sebelum bermulanya pemilihan Umno hujung bulan ini.

"Saya fikir elok diumumkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia yang melaporkan bahawa terdapat desas-desus yang mengaitkan beberapa calon jawatan tertinggi Umno dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti berhubung kesalahan politik wang.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika ditanya mengenai kelewatan Lembaga Disiplin parti mengumumkan individu yang terlibat dengan kesalahan politik wang termasuk mereka yang berprofil tinggi berkata:" Saya tak mahu campur. Saya harap pengumuman dapat dibuat supaya dapat redakan keadaan (kerana) orang terlampau banyak persoalkan isu ini."

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar juga sependapat dengan Muhammad yang mahu ia diumumkan sebelum bermulanya pemilihan parti pada Perhimpunan Agung Umno pada 2428 Mac ini. "Spekulasi itu kita tak tahu siapa. Yang terbaik (ialah) sebelum bermula pertandingan. Kalau dah sampai tahap seminggu dua lagi, ia akan menimbulkan keadaan kelam kabut dan huru-hara yang boleh merosakkan dan mudaratkan parti," katanya.

Syed Hamid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata amalan politik wang tidak seharusnya terus bertunjang di dalam parti kerana ia akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Oleh itu kita perlu perhalusinya (politik wang) kerana ini boleh membawa parah pada Umno selain boleh hilangkan keyakinan rakyat pada Umno," katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasan Malek berharap pihak yang disiasat dan diambil tindakan supaya menerima hakikat dan menghormati apa yang dilaksanakan oleh Lembaga Disiplin Umno.

"Sesiapa yang mengaku dirinya ahli Umno dan menawarkan diri bertanding mereka harus menerima risiko, pada saya kalau cukup bukti sama ada dia "Harimau Besar " atau "Kancil kecil", jika diambil tindakan kena terimalah dan kita perlu hormati keputusan Lembaga Disiplin.

"Tapi saya harap tak adalah, " katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain