suria

Parlimen gantung Gobind satu tahun

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Gobind Singh Deo digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama setahun bermula hari ini kerana mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri terbabit dalam kes pembunuhan dan juga menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Usul bagi menggantung Gobind telah dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Nazri berkata usul berkenaan dicadangkan kerana pada 12 Mac lalu, Gobind telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak terbabit dalam kes pembunuhan, semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009.

"Bahawa Ahli Yang Berhormat Puchong juga telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat itu adalah merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini," katanya di sini hari ini.

Pembentangan itu mengikut Perkara 27 (3) peraturan mesyuarat.

"Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong hendaklah digantung tugas daripada jawatannya sebagai Ahli Parlimen selama 12 bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan," katanya.

Nazri berkata anggota Parlimen itu tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan kemudahan sebagai seorang Anggota Parlimen pada masa penggantungan.

Beberapa anggota Parlimen pembangkang kemudian bangun dan membangkitkan pelbagai peraturan mesyuarat mempersoalkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan usul itu dibentangkan dan alasan kewajarannya.

Lim Kit Siang (DAPI-poh Timur) meminta penjelasan mengenai kepentingan umum sehingga usul itu dikecualikan daripada notis tujuh hari walaupun perkara sama pernah berlaku kepada Anggota Parlimen Batu Gajah pada 2001 dan beliau tidak mahu ia menjadi keutamaan yang tidak wajar dalam Dewan.

Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) yang mahukan perkara itu dibawa ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen sebelum dibahaskan manakala Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mempersoalkan kenapa Dewan tidak memberi ruang supaya anggota Parlimen Puchong diberi masa membela diri dan persediaan berbahas.

Antara anggota Parlimen pembangkang lain yang bangun ialah M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan R. Sivarasa (PKR-Subang).

Artikel Sebelum

Artikel Lain