suria

Kembalikan keyakinan umum terhadap badan kehakiman - Zaki

LANGKAWI: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi hari ini menggesa para hakim agar berusaha mengembalikan keyakinan umum terutamanya pelabur asing terhadap Badan Kehakiman negara.

Zaki berkata, antara usaha itu ialah hakim-hakim perlu menerbitkan alasan penghakiman dalam laman web kehakiman agar ia boleh dibaca semua pihak.

"Alasan penghakiman hendaklah ditulis dengan pantas, adil dan saksama dan penghakiman-penghakiman seharusnya diterbitkan dalam laman web kehakimanan untuk dibaca oleh semua pihak," kata beliau ketika merasmikan Persidangan Hakim-hakim Malaysia 2009 di sini.

Katanya, selain itu, para hakim hendaklah memilih kes-kes yang dirasakan wajar untuk diterbitkan dalam jurnal undang-undang.

Beliau berkata, kes-kes jenayah juga haruslah diselesaikan segera bagi mengelak orang tertuduh merengkok dalam tahanan untuk tempoh yang lama.

Ketua Hakim Negara juga berkata, sebuah Mahkamah Khas Dagang Kuala Lumpur dalam bidangkuasa Badan Kehakiman diwujudkan sebagai usaha untuk menguruskan kes-kes dagang dengan lebih pantas.

"Penyelesaian kes-kes dagang dengan pantas, cekap dan jujur akan dapat mengembalikan kepercayaan pelabur asing di Malaysia," kata beliau.

Beliau berkata, jumlah hakim-hakim di Mahkamah Dagang di Kuala Lumpur telah ditambah manakala hakim-hakim di Mahkamah Rayuan yang berpengalaman telahpun dikhususkan untuk mengurus kes-kes di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Zaki berkata, pengurangan kes tertunggak bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan dan golongan hakim perlu membuat perubahan pemikiran dan cara bekerja dan mereka juga perlu mengurus kes dengan baik.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mempertingkatkan pengurusan mahkamah seperti penstrukturan semula pendaftaran di beberapa mahkamah.

Jabatan Kehakiman juga membuat pelantikan dua orang Hakim Pengurus dari Mahkamah Rayuan untuk mengurus kes-kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memperbaiki kecekapan pendaftaran di mahkamah.

"Hakim-hakim Pengurus juga dilantik di seluruh Malaysia untuk mengurus pergerakan keskes dan juga mengurus mahkamah," kata beliau.

Beliau berkata, setelah membuat pengurusan kes yang berkesan, kini hakim-hakim di Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar kes sebanyak dua kali ganda berbanding sebelum ini.

Zaki berkata, pihak yang ingin mendapatkan penghakiman persetujuan dalam kes penceraian dalam masa yang singkat mula memfailkan petisyen mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain