suria

Perwakilan Umno diingat tidak terlalu ghairah

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengingatkan perwakilan supaya tidak terlalu ghairah dalam memilih calon pada pemilihan parti yang dijadual pada 25 dan 26 Mac ini.

Beliau sebaliknya berkata perwakilan perlu berfikiran matang dan meletakkan perjuangan mengukuhkan parti dan negara melebihi agenda peribadi.

"Ini merupakan satu tanggungjawab besar dan bukan proses mainmain, kita ingin memilih pemimpin yang akan membantu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengukuhkan parti dan negara," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan pengenalan calon-calon Majlis Tertinggi Umno dengan perwakilan Umno Bahagian Pahang di sini, malam tadi.

Hampir keseluruhan 66 calon yang bertanding hadir pada majlis itu termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Adnan berkata perwakilan seharusnya memandang isu yang lebih besar seperti cabaran politik dan krisis ekonomi yang memerlukan pemimpin berwibawa untuk menanganinya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain