suria

Mayat bayi ditemui dalam tong sampah

KUALA LUMPUR:Mayat seorang bayi lelaki dan satu janin bayi ditemui dalam tong sampah di Blok 13 Flat AU3/1, Taman Keramat di sini hari ini.

Mayat bayi yang dipercayai baru dilahirkan dan janin bayi itu ditemui seorang pemandu lori pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata mayat bayi yang masih bertali pusat dan janin yang belum dipastikan jantinanya itu dibungkus dalam kertas surat khabar.

"Seorang pemandu lori ternampak satu bungkusan surat khabar yang mencurigakan di dalam tong sampah berhampiran rumahnya dan apabila dibuka dia melihat mayat seorang bayi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mayat bayi dan janin itu dihantar ke Hospital Ampang Jaya untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain