suria

PM belum terima nama calon DUN Batang Ai

PULAU PINANG: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau belum menerima nama calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Batang Ai daripada BN Sarawak.

Pengerusi BN itu berkata setakat ini beliau hanya mendapat maklumat bahawa BN Sarawak telah mengenal pasti calonnya tetapi belum memaklumkannya kepada beliau.

"Saya belum menerima apaapa cadangan (nama calon) itu secara rasmi ," katanya kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini bahawa calon BN bagi kerusi Batang Ai telah dikenal pasti dan akan diumumkan minggu depan.

Taib berkata BN Sarawak telah memperakui calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi kerusi itu dan namanya akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk kelulusan dan dijangka diumumkan Isnin ini.

Sementara Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing mengesahkan bahawa PRS mencalonkan Malcom Mussen Lamoh, 49, jurutera di Jabatan Pertanian, sebagai calon BN bagi DUN Batang Ai.

Mengenai pemilihan Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara, Ismail Saffian sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak, Abdullah berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan kepada pertimbangan teliti bahawa calon itu adalah yang terbaik.

"Saya berharap calon yang diketengahkan itu akan menang kerana beliau adalah calon yang dilihat dan dipertimbangkan sebagai yang terbaik sekali," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah Datuk S.Ganesan diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan ketiga-tiga pilihan raya kecil itu diadakan serentak dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain