suria

Najib perlu pastikan Kabinetnya bebas rasuah - Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memastikan barisan Kabinet yang beliau akan lantik apabila menjadi Perdana Menteri nanti terdiri daripada mereka yang bersih daripada sebarang bentuk rasuah.

Bekas Perdana Menteri berkata ketika ini ramai di kalangan rakyat yang memerhatikan senario politik negara terutama menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.

"Masyarakat memang tahu siapa yang terbabit dengan rasuah kerana mereka memberikan wang secara agak terbuka, dan pihak yang menerima pula bercakap bahawa mereka menerima wang itu yang bertujuan memenangi sokongan mereka.

"Jadi apabila Najib menjadi PM dan beliau melantik orang ini, maka seperti yang telah saya katakan, beliau menjerat lehernya sendiri kerana beliau akan kalah dalam pilihan raya umum ke13 yang akan datang," katanya pada wacana mengenai Demokrasi dan Kepimpinan Masa Depan Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata pelan peralihan kuasa yang dirancang setakat ini berjalan mengikut perlembagaan parti.

Mengenai pakej rangsangan mini berjumlah RM60 bilion yang diumumkan barubaru ini, Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah bagaimana peruntukan itu digunakan.

"Jika anda mengambil Amerika sebagai contoh, mereka seringkali menambah pakej rangsangan dan masih belum melihat hasilnya, jadi ini mungkin permulaan kepada pakej rangsangan kita kerana kita tidak tahu sejauh mana hasilnya.

"Tetapi cara ia akan digunakan adalah sangat penting, mereka mesti perlu berhatihati dengan peruntukan dana daripada pakej rangsangan... perkara ini memerlukan kajian sewajarnya, anda perlu tahu semua butiran berhubung prestasi ekonomi," kata beliau.

Mengenai cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno, beliau berkata perkara seumpama itu pernah berlaku tetapi tidak berjaya disebabkan berlainan prinsip dan perjuangan.

Apapun, kata Dr Mahathir BN telah memerintah Malaysia selama 50 tahun dan berjaya membawa kemakmuran serta kemajuan kepada rakyat negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain