suria

MB Selangor jamin pengisytiharan hartanya boleh diakses Selasa ini

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa pengisytiharan harta dan asetnya boleh diakses melalui laman web kerajaan negeri selewat-lewatnya Selasa depan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegagalan untuk mengakses pengisytiharan harta beliau di laman web berkenaan sedangkan senarai harta dan aset Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri telah disiarkan semalam.

Katanya kegagalan melayari senarai harta dan asetnya disebabkan wujud beberapa masalah dalam memasukkan data ke dalam sistem yang berkemungkinan berpunca daripada terlalu banyak borang pengisytiharan yang perlu dimuat turun.

"Mungkin pada Isnin atau Selasa (boleh akses) kerana kita juga nak (datadata) yang lebih terkini dan nak tengok bagaimana komen orang ramai terhadap pengisytiharan (senarai harta dan aset exco)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program "Whistle Stop" sempena setahun pemerintahan kerajaan gabungan parti pembangkang di Selangor yang diadakan di Dataran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Maklumat pengisytiharan aset membabitkan hartanah, saham, wang yang diperoleh sejak mengangkat sumpah sebagai Exco itu disiarkan menerusi laman web rasmi kerajaan negeri di alamat www.selangor.gov.my bermula lewat petang semalam.

Teresa Kok adalah antara Exco yang mempunyai pendapatan paling tinggi di kalangan sembilan Exco lain dengan jumlah pendapatan RM32,830.67 sebulan di samping mempunyai dua pinjaman perumahan berjumlah RM320,000.

Semasa merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor barubaru ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Menteri Besar dan semua anggota Exco kerajaan negeri mengisytiharkan harta masing-masing.

Mengenai maklum balas orang ramai terhadap langkah kerajaan Selangor mengisytiharkan senarai harta dan aset exco kerajaan negeri di laman web itu, Abdul Khalid berkata ada yang berpendapat bahawa langkah itu (mengisytiharkan harta) sepatutnya dicontohi oleh menteri, Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri.

"Itu terpulang kepada mereka tetapi untuk Selangor kita tumpukan kepada Menteri Besar dan Exco dahulu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain