suria

Mara beli pakaian Angkasawan Negara

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memutuskan untuk membeli pakaian angkasawan bernilai US$50,000 yang pernah digunakan oleh angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustaphar untuk menjadi tatapan rakyat Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata beliau telah mengarahkan Mara untuk membeli pakaian itu sebagai satu simbol kejayaan institusi itu yang berjaya melahirkan seorang angkasawan Melayu pertama.

"Dr Sheikh Muszaphar ada berbincang dengan saya dan beliau berharap ada orang beli pakaian ini. Kerajaan tidak beli tetapi ada satu syarikat korporat tempatan yang berminat untuk membeli, jadi saya terkilan lalu saya minta Mara untuk membelinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara 2009 dan sambutan Hari Mara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata Dr Sheikh Muszaphar merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Muar, Johor merupakan idola kepada anak-anak muda khususnya kepada hampir 90,000 pelajar di semua institusi Mara.

Noh berkata beliau akan meminta Dr Sheikh Muszaphar menguruskan pembelian pakaian itu yang kini berada di Rusia dan akan mempamerkan pakaian itu sama ada di Muzium Mara atau di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute Of Aviation Technology (UNIKL MIAT).

Noh berkata Mara juga akan menawarkan jawatan kepada Angkasawan Negara itu bagi berkhidmat kepada para pelajar di institusi pengajian Mara sebagai membalas jasa Mara yang melahirkan banyak pelajar cemerlang termasuk diri beliau sendiri.

"Saya dah berbincang dengan Dr Sheikh Muszaphar dan beliau bersetuju serta berminat untuk menyertai Mara dan berkhidmat di UNIKL MIAT sama ada sebagai pensyarah, penasihat atau pakar motivasi bebas," katanya.

Noh berkata beliau juga akan menemui dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili dan pihak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia berkenaan kontrak angkasawan itu yang masih terikat dengan dua pihak itu.

"Sama ada dipinjamkan (kepada Mara) atau dipindahkan asalkan kita dapat guna kepakaran beliau. Kita akan bagi tempat dan ruang kepada Dr Sheikh Muszaphar kerana beliau anak didik Mara," katanya.

Beliau berkata Mara juga akan menyediakan skim gaji khas yang setaraf dengan angkasawan dan bukannya mengikut skim kerajaan bagi membayar khidmat Angkasawan Negara itu.

Sementara itu, Noh berkata Mara akan memperkenalkan mata pelajaran tulisan Jawi dan ia diwajibkan kepada pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua di semua MRSM bagi memperkasakan tulisan itu, tahun depan.

"Orang Melayu dengan tulisan Jawi tidak dapat dipisahkan. Mata pelajaran elektif ini wajib bagi pelajar Melayu tetapi bagi pelajar bukan Melayu ia terpulang kepada mereka," katanya.

Beliau berkata satu lagi mata pelajaran elektif iaitu Sejarah Mara dan Kontrak Sosial juga akan diperkenalkan di semua institusi pengajian Mara bermula tahun depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain