Ketua Puteri Umno Perak tarik diri tanding Naib Ketua - Semasa | mStar

Ketua Puteri Umno Perak tarik diri tanding Naib Ketua

IPOH: Ketua Puteri Umno Perak, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Naib Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti 24 hingga 28 Mac ini.

Beliau turut menarik diri daripada mempertahankan jawatan Exco pergerakan itu.

Wan Norashikin, 36, berkata keputusan berkenaan dibuat kerana beliau ingin memberi tumpuan terhadap kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang awal bulan depan.

"Saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi parlimen berkenaan," katanya kepada Bernama.

Wan Norashikin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah berkata, beliau telah menghantar surat penarikan diri daripada bertanding keduadua jawatan itu kepada Umno petang tadi.

"Saya telah membuat pengumuman berkenaan pada mesyuarat Exco Puteri Umno sebelum menghantar surat berkenaan," katanya.

Katanya, selaku Ketua Puteri Umno Negeri, tanggungjawab membantu BN memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang sudah cukup berat untuk dipikul dan beliau tidak mahu usaha itu terganggu dengan pemilihan jawatan parti.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah memberikan sokongan dan berharap mereka memahami pengorbanan yang telah saya buat... saya tetap akan bersama Puteri Umno dan memainkan peranan dalam kapasiti sedia ada," katanya.

Wan Norashikin yang juga Ketua Puteri Bahagian Pasir Salak mendapat 31 pencalonan untuk merebut jawatan Naib Ketua dan merupakan antara lima calon yang layak bertanding.

Penamaan calon bagi pilihan raya Parlimen Bukit Gantang akan diadakan pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April, dan serentak pada tarikh sama turut berlangsung pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian penyandangnya Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lalu. BERNAMA

Artikel Berikut

Mara beli pakaian Angkasawan Negara

Artikel Berkaitan

Artikel Lain