suria

Jawatankuasa Pengurusan Umno tentukan kelayakan Norza - Abdullah

PULAU PINANG: Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan parti untuk menentukan sama ada Datuk Mohamad Norza Zakaria boleh bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) atau sebaliknya pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Perdana Menteri berkata soal kelayakan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan itu untuk bertanding pada pemilihan parti perlu diputuskan jawatankuasa itu berikutan pemimpin itu telahpun dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini.

"Kelayakan bertanding kena diputuskan nanti oleh Jawatankuasa Pengurusan pada keskes yang berkaitan dengan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Liga Muslim Pulau Pinang dan Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Mohamad Norza layak untuk bertanding setelah beliau dihadapkan ke Mahkamah

Majistret Temerloh kelmarin atas dua tuduhan menyogok perwakilan bagi memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac ini.

Mohamad Norza dituduh memberi suapan wang tunai RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi Kamaruzzaman sebagai dorongan untuk diagihkan kepada perwakilan bagi membantu mengundinya memenangi jawatan MT itu.

Dia juga dituduh memberi suapan wang tunai RM1,900 kepada Mohamad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama dan keduadua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 20 Jan lalu.

Mohamad Norza dituduh menurut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 24 akta yang sama jika sabit kesalahan.

Abdullah berkata, tindakan menghadapkan pemimpin parti ke muka pengadilan juga membuktikan bahawa tiada sesiapapun yang dikecualikan daripada perjalanan undang-undang negara.

Dalam keadaan itu, Perdana Menteri berkata terpulang kepada mereka untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah di mahkamah.

Mengenai pertemuannya dengan pemimpin Liga Muslim Pulau Pinang dan Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia, Abdulah berkata, beberapa perkara dibincangkan antaranya mengenai peluang pekerjaan dalam bidang yang telah dikenal pasti bagi pekerja yang telah dibuang kerja, latihan pekerjaan dan peluang perniagaan serta pendidikan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain