suria

Ismail Saffian calon BN Bukit Gantang

ANAK TEMPATAN ... Ismail Saffian diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini. Foto THE STAR Oleh ZABIDI TUSIN.
ANAK TEMPATAN ... Ismail Saffian diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini. Foto THE STAR Oleh ZABIDI TUSIN.
ANAK TEMPATAN ... Ismail Saffian diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini. Foto THE STAR Oleh ZABIDI TUSIN.

TAIPING: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini, Ismail Saffian berazam untuk memberikan khidmat sebaik mungkin kepada masyarakat di situ sekiranya diberikan kepercayaan untuk menjadi wakil mereka.

Beliau berkata sebagai parti politik yang menerajui kerajaan pusat dan kerajaan negeri Perak ketika ini, banyak perkara yang boleh dilakukan oleh BN untuk kemajuan dan kebaikan semua masyarakat di kawasan Bukit Gantang.

"Yang pentingnya masyarakat di sini masa hari mengundi nanti kena beri kepercayaan mereka kepada BN," katanya kepada pemberita selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beliau sebagai calon BN pada majlis pemimpin bersama rakyat di Taman Kota Jaya, Simpang, dekat sini hari ini.

Ismail, 49, yang ketika ini adalah Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara berkata beliau akan memohon untuk bersara secara pilihan daripada jawatan itu pada Isnin ini.

Beliau yang berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang percaya ketika ini telah ada angin perubahan di kalangan masyarakat setempat yang akan memihak kepada BN lebih-lebih lagi selepas pucuk pimpinan parti itu membuat keputusan meletakkan anak tempatan sebagai calon pada pilihan raya kecil Bukit Gantang.

"Saya yakin kalau pihak jentera BN dapat menunjukkan semangat bekerja sebagai satu pasukan yang tinggi, saya percaya kita akan beroleh kemenangan dalam pilihan raya Parlimen Bukit Gantang," katanya.

Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang itu merupakan lulusan dari Universiti Sains Malaysia dalam jurusan Perumahan, Bangunan dan Perancangan dan mula menyertai Umno sebaik menamatkan pengajian pada 1984.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada 1984 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Majlis, Majlis Daerah Kerian pada 1988 dan seterusnya bertukar ke Majlis Perbandaran Manjung pada 2000, juga sebagai Setiausaha Majlis.

Pada 2008, Ismail bertukar pula ke Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dengan memegang jawatan yang sama sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang pada penghujung 2008.

Beliau adalah Timbalan Ketua Cawangan Umno Kampung Kubu dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Umno Bahagian Bukit Gantang dan jawatan terakhirnya adalah Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang.

Beliau mempunyai seorang isteri Poziah Noh, 45, seorang surirumah dan lima anak, dua lelaki dan tiga perempuan yang berumur antara 10 dan 24 tahun.

Ismail bertanding untuk jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang tahun lepas namun tewas kepada Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Trong Datuk Rosli Husin.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain