suria

Mahkamah Rayuan: Sivakumar boleh diwakili peguam peribadi

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar boleh melantik peguamnya sendiri untuk mewakilinya dalam dua kes saman terhadapnya ekoran krisis kepimpinan di negeri itu.

Hakim Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara berpendapat bahawa tidak ada peruntukan undang-undang yang menyatakan Speaker harus diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

"Seorang Speaker bukan merupakan pegawai negeri atau kerajaan negeri. Sivakumar bebas melantik peguam pilihannya," kata Raus dalam keputusan lisannya semasa membenarkan rayuan Sivakumar untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh bahawa hanya Penasihat Undang-Undang Negeri sahaja boleh mewakilinya.

Pada 3 dan 5 Mac lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim enggan membenarkan peguam swasta mewakili Sivakumar.

Pada 2 Mac lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan enam exconya telah memfailkan saman terhadap Sivakumar untuk menuntut perisytiharan bahawa keputusan Speaker menggantung dan menghalang mereka menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan (Zambry) dan 12 bulan untuk ahli exco itu sebagai tidak sah.

Saman kedua dikemukakan terhadap Sivakumar oleh tiga Ahli DUN bebas Jamaluddin Md Radzi, Kapt.(B) Mohd Osman Jailu dan Hee Yit yang memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kerusi DUN masing-masing di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang tidak kosong dan mereka masih sah sebagai wakil rakyat.

Ini berikutan pengumuman Sivakumar bulan lepas bahawa ketiga-tiga wakil rakyat itu telah mengosongkan kerusi masing-masing selepas Jamaluddin dan Osman keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hee meninggalkan parti DAP. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain