SHAH ALAM: Kegiatan memproses ubat batuk secara haram oleh seorang doktor lelaki berusia 53 tahun terbongkar apabila polis menyerbu sebuah klinik swasta di Jalan Meru, Klang Selasa lepas dan menahan lelaki itu.Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Jamshah Mustapa berkata klinik berkenaan dipercayai digunakan sebagai tempat memproses dan mengedar bahan itu. Serbuan itu dibuat ekoran penangkapan seorang lelaki berumur 26 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun di kawasan Taman Perindustrian Subang dekat sini, pada hari yang sama dan rampasan 10 botol dipercayai ubat batuk dan 400 biji pil dipercayai dadah jenis Erimin 5 daripada mereka, katanya.Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata dalam serbuan di klinik berkenaan, polis turut menahanan dua pembantu wanita berusia dalam lingkungan 20an."Dalam serbuan yang turut disertai pegawai Bahagian Perkhidmatan Farmasi Selangor itu, polis merampas 2,932 botol mengandungi bahan dipercayai digunakan untuk memproses ubat batuk secara haram dan ubat batuk yang dipercayai telah siap diproses untuk dipasarkan."Kami turut menyita wang tunai RM58,000 dan sebuah kenderaan dipercayai digunakan bagi aktiviti berkenaan. Nilai keseluruhan rampasan ialah RM474,029," katanya.Sementara itu, polis merampas 4,220 biji pil Erimin 5 dan dua paket plastik mengandungi dadah jenis Ketamin yang dianggar bernilai RM65,300 dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Damai Perdana, Cheras semalam.Jamshah berkata dalam serbuan pada kirakira pukul 5.30 petang itu, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai tukang urut."Ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah," katanya. BERNAMA