suria

Tiada unsur fitnah dan adu domba menjelang pemilihan parti

MELAKA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata tiada unsur fitnah dan adu domba menjelang pemilihan parti hujung bulan ini.

Beliau berkata, pertandingan pucuk pimpinan tertinggi parti berlangsung dalam suasana sihat dan berunsur kekeluargaan.

"Kita berharap Umno akan terus dihargai sebagai parti pembela rakyat dan menjadi kekuatan semua lapisan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan pertemuan calon-calon Anggota Majlis Tertinggi Umno dengan perwakilan Umno Melaka di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mohd Ali berkata, usaha memperkukuhkan parti harus dijadikan keutamaan untuk Umno terus menjadi tunjang kepada Barisan Nasional yang sedikit terjejas pada pilihan raya umum ke-12 yang lepas.

"Mudah-mudahan menjelang 2013 keyakinan kembali semula kepada kita untuk memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen dan merampas kesemua negeri yang sebelum ini ditawan oleh pembangkang," katanya.

Beliau juga mengingat pemimpin supaya mesra dan selalu berada dalam masyarakat yang pada hari ini dilihat semakin jauh dan renggang.

"Kita juga perlu menjaga orang muda, terdapat kira-kira dua juta pengundi muda akan mendaftar pada 2013, jika kita jaga mereka, mereka akan menjaga kita kelak," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata beliau melihat pemilihan parti kali ini adalah yang positif, tidak ada kata mengata, surat layang dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memburuk-burukkan calon.

Beliau berkata ini merupakan satu petanda yang amat baik untuk Umno dengan perwakilan menunjukkan sikap yang tidak berbelah bahagi dengan memberi sokongan hampir sama kuat untuk semua calon.

"Ini menunjukkan bahawa anggota Umno sudah sangat matang dan tidak emosi dan tidak menunjukkan sikap "boo" dan sebagainya kepada mana-mana calon. Ini satu perilaku yang sangat baik yang ditonjolkan oleh anggota Umno di mana-mana negeri yang kita pergi," katanya.

Beliau berkata sesiapa juga calon yang menang bertanggungjawab mengukuhkan parti, memberi sokongan kepada nombor satu dalam Umno dan kerajaan.

Rafidah pula berkata ini pertandingan seperti biasa sebab dalam demokrasi yang menang tetap menang yang kalah tetap kalah dan harus terima apa yang dipilih perwakilan.

Beliau berkata anggota Umno perlu pastikan Umno tetap kukuh dan jangan membiarkan berlakunya perpecahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain